Kesalahan Umum Terjemahan Harfiah

Bahasa Cina-Melayu

 

 

Dr. Chew Fong Peng, Universiti Malaya, Malaysia

PM Liau Lay San, Universiti Teknologi MARA, Malaysia

  

 

Abstract

 

Makalah ini membincangkan kesalahan umum yang terdapat dalam terjemahan harfiah bahasa Cina-Melayu dalam konteks perbualan seharian.  Antara kesalahan yang selalu ditemui termasuklah struktur ayat yang songsang, penggunaan kata hubung yang salah, salah terjemahan konsep, pemilihan diksi yang tidak sesuai dan lain-lain.  Kesalahan itu wujud disebabkan kurang pergaulan dan interaksi penterjemah dengan orang Melayu, masalah kemahiran berkomunikasi dalam konteks penggunaan sebenar bahasa Melayu, kurang penguasaan dalam pengetahuan konsep kompetens komunikatif, terlalu terkongkong pada aspek makna dalam kamus dan gagal memilih padanan kata yang tepat walaupun memahami maksud istilah.  Oleh itu, kursus terjemahan perlu didedahkan kepada para penterjemah bukan Melayu sebagai asas.  Dalam kelas bahasa Melayu, pendidik haruslah menitikberatkan kemahiran bertutur yang berkesan serta kaedah komunikatif terutama dalam pengajaran kepada penutur bukan jati.  Selain itu,   beberapa cadangan serta strategi terjemahan turut dihuraikan dalam makalah ini.

 

 

Dr. Chew Fong Peng

Berkelulusan Doktor Falsafah (2003) dalam bidang Kesusasteraan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.  Pernah menjadi guru di SMK Assunta, Petaling Jaya dan SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Chew telah menerbitkan buku berjudul Masyarakat Berbilang Kaum dalam Sastera Kebangsaan di Malaysia: Anaisis Deskriptif dan Empirial (2007) dan tiga siri buku Budaya, Bahasa dan Sastera dalam Masyarakat Malaysia (2008). Dari segi akademik, makalah beliau banyak tersiar dalam jurnal berwasit di luar dan di dalam negara.

 

PM Liau Lay San

Profesor Madya di Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam.

Kepakaran dan pengalaman: Mengajar Mandarin kepada penutur bukan jati (23 tahun), Terjemahan bahasa Cina-Melayu (15 tahun), Jemputan dan penulis skrip untuk program radio “Belajar Bahasa Melayu” (5 tahun)

 

 

 

 Pengenalan

 

Memang sering dipertikaikan oleh golongan yang melibatkan diri dalam kerja penterjemahan tentang kaedah apa yang paling sesuai digunakan dalam menghasilkan penterjemahan.  Ada yang menyokong kaedah terjemahan harfiah (literal translation), ada juga yang tidak setuju, sebaliknya lebih menyokong kaedah terjemahan bebas (free translation) atau kaedah yang menggunakan cara parafrasa.  Kaedah harfiah menitikberatkan terjemahan yang setia pada teks asal, manakala terjemahan bebas mengutamakan kelancaran penyampaian maksudnya dalam bahasa sasaran sama ada dengan mengurangkan atau menokoktambah isi pada teks asal.

 

Menurut Norizah, Midiyana, Rozaimah dan Zuraidah (2008), kaedah terjemahan harfiah (literal) boleh difahami sebagai kaedah yang digunakan dengan menggantikan perkataan atau frasa dalam ayat tanpa perlu melakukan perubahan yang besar terhadap kedudukan struktur atau susunannya. Bermakna setiap perkataan dalam bahasa sumber dapat digantikan dengan persamaannya dalam bahasa sasaran dan pada masa yang sama struktur ayat bahasa sumber dipindahkan ke dalam bahasa sasaran tanpa perubahan besar.

 

Kaedah terjemahan bebas pula merupakan kaedah terjemahan yang berdasarkan maksud pada keseluruhannya dan tidak secara perkataan demi perkataan, sebaliknya memparafrasakan semula ungkapan atau isi kandungan dengan kata-kata lain bagi menyampaikan makna asal bahasa sumber, tidak semestinya mengikut makna harfiah perkataan dan susunan ayat asalnya.

 

Makalah ini akan membincangkan kesalahan umum terjemahan harfiah yang dilakukan oleh penterjemah bahasa Cina-Melayu.  Pemakalah berharap beberapa kesalahan umum terjemahan yang dibincangkan dalam makalah ini sedikit sebanyak dapat membantu penterjemah bahasa Cina-Melayu dalam proses penterjemahan. Pemakalah juga percaya tentu ada banyak lagi aspek kesalahan terjemahan bahasa Cina-Melayu yang boleh dikaji secara lebih spesifik dan terperinci untuk manfaat bersama.

 

Perbezaan dari segi latar belakang sejarah dan budaya bahasa, kelainan gaya bahasa dan struktur ayat kedua-dua bahasa ini memainkan peranan penting dalam proses  penterjemahan.  Pengetahuan dan penguasaan kompetens komunikatif seseorang penterjemah, baik dari aspek kompetens linguistik mahupun dari aspek sosiolinguistik atau pragmatik sudah tentu mempengaruhi mutu hasil terjemahannya.

 

Tidak dinafikan bagi sesetengah teks sememangnya perlu diterjemah secara harfiah atau secara langsung kerana dari satu segi, terjemahan harfiah dapat mengekalkan ciri-ciri kebudayaan sesuatu kaum, jadi dapat membantu pembaca lebih mengenali dan menerima ciri-ciri kebudayaan tersebut (Xu Wensheng & Zhu Zhanghua, 2003).  Tetapi dalam konteks perbualan harian adalah lebih sesuai jika terjemahan dilakukan berdasarkan konsep terjemahan bebas yang dapat menyampaikan maksud sesuatu ujaran agar lebih mudah difahami dalam bahasa sasaran. 

 

 

Kaedah Kajian

 

Data kajian dikumpul daripada contoh-contoh ayat terjemahan yang dibuat oleh sekumpulan penterjemah yang terlibat dalam projek penterjemahan kamus bahasa Cina-Melayu untuk pelajar bahasa L2.  Selain menterjemah setiap kata entri, contoh ayat yang diberi dalam kamus tersebut juga diterjemahkan agar dapat membantu pengguna kamus mempelajari bahasa L2 dengan lebih berkesan.   Beberapa aspek kesalahan umum dalam terjemahan contoh-contoh ayat bahasa Cina-Melayu dalam kamus tersebut telah dikenal pasti dan dianalisis. Antara kesalahan umum yang ditemui termasuklah struktur ayat yang songsang, penggunaan kata hubung yang salah, terjemahan langsung yang tidak gramatis, pemilihan diksi yang tidak sesuai, penggunaan ungkapan yang tidak sesuai, pemilihan imbuhan yang salah, penggunaan kata penguat yang salah, dan lain-lain.  

 

 

Analisis Data

 

Kesalahan Umum Terjemahan Harfiah Bahasa Cina-Melayu

 

1.    Struktur ayat yang songsang

 

Ayat sumber:  我的考试成绩得了一等。

Terjemahan:  Keputusan peperiksaan saya dapat pangkat A.

Sepatutnya diterjemahkan sebagai:  Saya mendapat pangkat A dalam peperiksaan.

 

Maksud ayat terjemahan tersebut seolah-olah menyatakan “keputusan” tersebut yang menduduki peperiksaan dan memperoleh pangkat A, bukan orangnya (saya) yang mendapat pangkat A dalam peperiksaan. Dalam contoh ayat di atas, penterjemah cuba menterjemah perkataan demi perkataan sehingga menjejaskan makna sebenar ayat tersebut. Disebabkan tidak mematuhi sintaksis ayat dalam bahasa penerima/sasaran, penterjemah sering melakukan kesilapan pembinaan ayat dan mengabaikan hubungan antara kata-kata dalam sesuatu ayat. Kesilapan yang sama boleh diperlihatkan dalam contoh-contoh yang lain seperti berikut:

 

Ayat sumber : 今天早上我们再次讨论已被批准的工程。

 

(a)Kami membincangkan sekali lagi projek yang telah diluluskan pada pagi itu.

(b)Kami membincangkan projek yang telah diluluskan sekali lagi pada pagi itu.

 

Makna ayat terjemahan (a) seolah-olah projek yang dibincangkan itu baru sahaja diluluskan pada pagi itu. Manakala ayat terjemahan (b) pula membawa maksud projek itu diluluskan sekali lagi tetapi bukan dibincangkan sekali lagi pada pagi itu. Kegagalan mengenal pasti penyusunan kata kepada ayat akan menjejaskan ketepatan makna ayat tersebut. Ayat tersebut sepatutnya diterjemahkan sebagai :

 

(c) Pada pagi itu, kami membincangkan sekali lagi projek yang telah diluluskan.

 

2.    Kesalahan penggunaan kata hubung

 

Ayat sumber:  我因为身体不好,所以在家休息。

Terjemahan:  Oleh kerana badan tidak sihat, jadi saya berehat di rumah.

 

Dalam bahasa Cina, kata hubung “因为所以” (oleh sebab…jadi) adalah berpasangan, tetapi dalam bahasa Melayu, kata hubung “oleh sebab”, “disebabkan” atau “kerana” tidak perlu diikuti dengan “jadi”, “oleh itu”, atau “maka” yang sinonim maksudnya.   Terjemahan di atas kelihatan janggal kerana ulangan maksud yang sama pada kata hubung yang digunakan.  Oleh itu, penterjemah sepatutnya memilih sama ada “oleh sebab” atau “jadi” dalam satu ayat, dan bukannya kedua-duanya.  Jadi ayat tersebut harus diterjemahkan sebagai: 

 

(a)Oleh sebab badan tidak sihat, saya berehat di rumah.

(b)Badan saya tidak sihat, jadi saya berehat di rumah.

3.    Terjemahan langsung yang tidak gramatis

 

Ayat sumber: 这里风景优美,游人很多。

Terjemahan:  Pemandangan di sini indah, ramai pelancong.

Sepatutnya diterjemahkan sebagai: 

Pemandangan yang indah di sini menarik banyak pelancong.

 

Ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa penterjemahan mestilah setia kepada teks asal, jangan sesekali mengurangkan atau menokoktambahkan isinya. Tetapi dalam contoh ayat terjemahan di atas, terjemahan langsung yang setia pada teks asalnya merosakkan keindahan bahasa kerana tidak mengikut prinsip tatabahasa, ayat tersebut kelihatan “tergantung” dan  tidak gramatis. Dengan menambah perkataan “menarik” dalam terjemahan, ayat tersebut dapat menjelaskan maksud ayat itu dengan lebih gramatis dan sempurna.  

 

Perbezaan tersebut timbul disebabkan perbezaan gramatis kedua-dua bahasa sumber dan sasaran.  Dalam bahasa Cina, pemilihan diksi adalah sangat ekonomik dan tidak perlu menjelaskan segala-galanya. Oleh itu, pembaca bahasa Cina faham bahawa tempat itu banyak pelancong disebabkan keindahan pemandangannya.  Sebaliknya Bahasa Melayu mengikut hukum Subjek + Prediket, jadi segala keterangan tentang subjek perlu dikemukakan dengan sejelas-jelasnya agar maksudnya tersampai. 

 

Untuk mengatasi masalah kelompangan maksud ayat sumber, maka penterjemah perlu menambah satu dua perkataan untuk menjadikan terjemahan ayat sasaran itu gramatis mengikut tatabahasa Melayu.  Namun begitu, penambahan tersebut perlulah berdasarkan pemikiran logik dan kesesuaian diksi itu mengikut konteks ayat sumber. Pertimbangan ini dapat mengelakkan pertikaian salah tafsiran dalam terjemahan.  Kesilapan yang sama boleh diperlihatkan dalam contoh berikut:

Bahasa sumber: 这支笔是我的, 那支笔是你的

Terjemahan:  Pen ini saya punya, pen itu awak punya.

 

Terjemahan tersebut berbunyi janggal kerana diterjemah secara langsung mengikut bahasa sumber.  Ayat itu menjadi tidak gramatis dan bersifat “keCinaan”.  Ayat terserbut sepatutnya diterjemahkan sebagai:  Ini pen saya, itu pen awak.  Penterjemah boleh menukar kedudukan subjek dengan prediket dalam terjemahan supaya menepati maksud bahasa sasaran dengan lebih berkesan.

 

4.    Pemilihan perkataan yang tidak sesuai/tepat

 

Bahasa sumber: 太冷了,快钻到被子里去。

Terjemahan:  Terlalu sejuk, cepat masuk ke dalam selimut.

Sepatutnya diterjemahkan sebagai: 

Cuaca terlalu sejuk, cepat-cepat sorok dalam selimut.

 

Kata kerja “” memang boleh diterjemahkan sebagai “masuk” dalam sesetengah konteks perlakuan/pergerakan dalam bahasa percakapan.  Contohnya, “tikus itu cepat-cepat masuk ke dalam lubang apabila ternampak kucing”.  Tetapi dalam konteks ayat di atas, “钻到被子里去” adalah lebih tepat diterjemahkan sebagai “sorok dalam selimut” daripada “masuk ke dalam selimut” kerana pergerakan tersebut bukanlah bermakna orang itu berjalan masuk  ke dalam selimut atau memasukkan diri ke dalam selimut.

 

Pemilihan diksi dalam proses penterjemahan amat bergantung kepada konteks sesuatu ungkapan itu, lebih-lebih lagi dalam konteks perbualan harian yang memerlukan sesuatu maksud ungkapan itu dihasilkan dengan tepat dan berkesan. Contohnya penggunaan perkataan “lembut” dan “lembik” untuk menyifatkan seseorang. “Lembut orangnya” membawa maksud “他的人很温和tetapi “lembik” pula menujukkan orang itu “tidak bermaya – 没精力” atau “tidak bersemangat - 没精神了!”. Begitu juga perkataan “” bermakna “orang, manusia, insan”, ketiga-tiganya membawa maksud yang sama tetapi penggunaan setiap istilah adalah berbeza mengikut konteks.  Dalam ayat “每个人的本性都是善良的”,   seelok-eloknya menggunakan perkataan “insan”  dalam ayat tersebut, dan bukannya “manusia”, atau “orang”. 

 

5.    Terjemahan ungkapan yang kurang sesuai

 

Ayat sumber: 他知道自己得了第一名以后高兴地叫了起来。

Terjemahan: 

Setelah dia mengetahui dia mendapat tempat pertama, dia begitu gembira sehingga mula menjerit

Sepatutnya diterjemahkan sebagai: 

Setelah mengetahui diri mendapat tempat pertama, dia menjerit keriangan.

 

Ungkapan “高兴地叫了起来” (gembira sehingga mula menjerit), terjemahan yang terlalu khusus dan tidak menjaga kesesuaian dan ketepatan makna ungkapan tersebut. “Gembira” dan “menjerit” dalam ayat terjemahan itu seolah-olah menunjukkan dua kata kerja yang berasingan dan mengungkapkan dua perasaan yang berbeza.  Dicadangkan ungkapan “gaoxing de jiao le qilai – 高兴地叫了起来” diterjemahkan sebagai “menjerit keriangan” kerana ayat ini lebih sejadi dan asli bunyinya.

 

6.    Pilih perkataan yang berulang

 

Ayat sumber         : 我找来找去,只找到一本我喜欢的书。

Terjemahan :  Saya mencari-cari, cuma dapat mencari sebuah buku yang disukai saya.

Sepatutnya diterjemahkan sebagai:  

Saya hanya jumpa sebuah buku yang saya suka setelah lama mencari!

 

” (mencari) muncul tiga kali dalam ayat bahasa sumber, ini tidak bermakna penterjemah mesti menterjemah tiga kali perkataan “” ke dalam bahasa penerima/sasaran. Oleh itu, “找来找去” tidak semestinya bermakna “mencari-cari” tetapi membawa maksud “mengambil masa yang lama untuk mencari”.  Manakala “找到” dalam ayat tersebut diterjemahkan sebagai “dapat mencari” yang sebenarnya boleh diterjemahkan sebagai “jumpa” atau “terjumpa” sesuatu.

 

7.    Penggunaan “imbuhan” yang salah

 

Ayat sumber: 我从来不喝这么烫的茶。

Terjemahan:  Saya tidak meminum teh yang begini panas.

Sepatutnya diterjemahkan sebagai :  Saya tidak minum teh yang begitu panas.

 

Imbuhan merupakan salah satu elemen tatabahasa yang unik dalam bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu lain daripada bahasa lain. Keunikan ini memainkan peranan amat penting dalam pembentukan makna sesuatu perkataan bahasa Melayu. Namun demikian, kesilapan yang paling umum ditemui dalam penterjemahan bahasa lain-bahasa Melayu ialah kesalahan penggunaan “imbuhan”.

 

“Meminum” dalam ayat terjemahan di atas ternyata tidak mematuhi aspek ketatabahasaan, akan tetapi perlu ditekankan di sini ialah kesalahan penggunaan “imbuhan” akan menyebabkan maksud bagi perkataan yang diiletakkan imbuhan itu akan menjadi maksud yang lain dan berbeza sekali daripada maksud asalnya dalam bahasa sumber. Contohnya, “他向警方自首”terjemahan dalam bahasa Melayu ialah “Dia menyerah diri kepada pihak polis”; tetapi jika penterjemah yang kurang arif tentang penggunaan imbuhan dalam bahasa Melayu menterjemahkan ayat tersebut kepada “Dia menyerahkan diri kepada pihak polis”,  maksud ayat tersebut boleh ditafsirkan sebagai “dia menyerahkan tubuhnya kepada pihak polis”.

 

Selain contoh di atas, contoh-contoh ayat seperti:

(a) 我住在这个村子里  (Saya tinggal di kanpung ini)

(b)我在这个村子里居住  (Saya menetap di kampung ini)

 

Jangan sesekali diterjemahkan ayat tersebut sebagai “saya meninggal di kampung ini”.

 

 

8.    Penggunaan kata penguat yang salah

 

Ayat sumber:  从这么高的地方跳下去….

Terjemahan:  Melompat ke bawah dari tempat yang begini tinggi….

Sepatutnya diterjemahkan sebagai :  Terjun dari tempat yang begitu tinggi….

 

这么” dan “那么” apabila berfungsi sebagai kata penguat, padanan kata kepada kedua-dua perkataan ini dalam bahasa Melayu ialah “begitu”.   Oleh itu, dalam contoh ayat di atas, sama ada “这么高”atau “那么高”, kedua-duanya diterjemahkan sebagai “begitu tinggi” dalam konteks ayat di atas atau boleh diterjemahkan sebagai “tingginya!” dalam konteks ayat seruan.

 

Barang kali penterjemah terpengaruh oleh perkataan “” dan “” yang bermakna “ini” dan “itu” 这里” bermakna “sini”, dan “那里” bermakna “situ”, maka “这么” pun diterjemahkan sebagai “begini” dalam semua konteks dan ungkapan.  这么” apabila diikuti dengan kata sifat sepatutnya diterjemahkan sebagai “begitu”, contohnya “这么好的人” orang yang begitu baik, 这么美的风景” pemandangan yang begitu cantik.  Manakala “begini” adalah padanan kata yang lebih tepat untuk perkataan “这么 / 这样” apabila perkataan ini diikuti oleh kata kerja.  Contohnya : 就这么办好了!Buat begini sajalah! 这么写吧!Tulislah begini!

 

 

Sebab-sebab Berlakunya Kesalahan Terjemahan

 

Daripada kesalahan-kesalahan umum dalam terjemahan harfiah atau terjemahan langsung yang dibincangkan di atas, maka dapat disimpulkan beberapa sebab utama berlakunya kesalahan tersebut.  Sebab tersebut boleh dilihat daripada dua aspek besar, iaitu aspek penterjemah sendiri dan aspek perbezaan dua bahasa. 

 

Dari aspek pertama, penterjemah didapati kurang bergaul dan berinteraksi dengan orang Melayu. Kompetens interaksi melibatkan pengetahuan dan penggunaan peraturan interaksi pelbagai situasi komunikasi dalam komuniti bahasa dan budaya tertentu. Oleh itu, kurang pergaulan dan interaksi penterjemah dengan orang Melayu, penterjemah akan menghadapi  masalah kemahiran berkomunikasi dalam konteks penggunaan sebenar bahasa Melayu Keadaan tersebut menyebabkan terjemahan perbualan mereka menjadi dangkal, diterjemahkan secara langsung dan tidak gramatis sifatnya. 

 

Penguasaan dan pengetahuan penterjemah tentang konsep kompentens komunikatif juga menjadi penyumbang kepada ketidakmampuan penterjemah mengenal pasti dan menghasilkan struktur tatabahasa sesuatu bahasa dengan tepat dan seterusnya gagal menggunakannya dengan berkesan dalam bahasa sasaran.

 

Walaupun penterjemah mempunyai pengetahuan dalam kemahiran berbahasa Melayu, namun peluang pergaulan yang kurang dengan orang Melayu mengehadkan penguasaan kosa kata, istilah, konsep dan ungkapan Melayu yang betul.  Oleh itu, para penterjemah didapati gagal memilih padanan kata yang tepat walaupun mereka memahami maksud istilah, contohnya perkataan “” diterjemahkan sebagai “masuk” dan ungkapan “找来找去” diterjemahkan sebagai “mencari-cari”.

 

Satu penyebab yang tidak kurang penting ialah penterjemah terlalu terkongkong pada aspek makna dalam kamus, dan tidak memilih diksi mengikut konteks ayat, umpamanya ungkapan 高兴地叫了起来diterjemahkan sebagai “gembira sehingga mula menjerit”.  Terjemahan “gembira” adalah maksud yang dinyatakan dalam kamus, tetapi tidak sesuai dalam konteks ayat ini, sebaliknya perkataan “keriangan” adalah lebih sesuai.

 

Dari aspek bahasa, bahasa Cina dan bahasa Melayu adalah dua jenis bahasa yang langsung berbeza dari segi latar belakang sejarah.  Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2001), perbezaan bahasa menyebabkan kita wajib melakukan pelbagai penyesuaian semula dalam terjemahan.  Semakin banyak dan semakin luas perbezaan antara budaya bahasa sumber dan budaya bahasa sasaran, maka semakin banyak perubahan yang mesti dilakukan.

 

Perbezaan tersebut sering memberikan perbezaan ungkapan antara kedua-duanya, umpamanya dalam bahasa Cina, perkataan (mati) sering kali digunakan untuk menggambarkan perasaan penghabisan atau menunjukkan darjah ekstrim, contohnya 累死了,痛死了,吓死人了, membawa maksud “terlalu letih”, “terlalu sakit”, dan “terlalu seram”, bukannya bererti “letih sehingga menyebabkan kematian”, “sakit yang membawa maut” atau “seram yang menyebabkan kematian”. Oleh itu, terjemahan itu harus dilakukan mengikut gaya bahasa Melayu, iaitu “letihnya”, “sakitnya”, “seramnya”.

 

Dari aspek tatabahasa, kedua-dua bahasa tersebut juga sangat jauh beza.  Bahasa Cina mengikut hukum MD (menerangkan + diterangkan), sebalikny Bahasa Melayu  mengikut hukum DM (diterangkan + menerangkan).  Oleh itu, “putih baju” (白衣) dalam bahasa Cina menjadi “baju putih” dalam bahasa Melayu.  Begitu juga halnya dengan laras ayat termasuk ayat tanya, ayat seruan, ayat majmuk, dan lain-lain.  Contohnya: 我为什么这么做,你能理解吗?terjemahan langsungnya ialah “Mengapa saya lakukan begitu, bolehkah awak memahaminya?”.  Terjemahan yang lebih tepat dan sejadi ialah “adakah kamu faham mengapa saya buat begitu?”

 

Di samping itu, setiap bahasa mempunyai perkataan yang mempunyai ciri-ciri khas dalam aspek sosiobudaya, misalnya bahasa Cina kaya dengan istilah memasak kerana orang Cina terkenal dengan pelbagai cara dan jenis masakan, umpamanya istilah 煮,炒,炖,炸,爆,煎,焖,烧,烤dan lain-lain; begitu juga konsep-konsep dari segi budaya yang tiada padanan yang tepat dalam bahasa penerima/sasaran seperti “敬茶喝喜酒”dan sebagainya.  Manakala bahasa Melayu kaya dengan istilah adat resam dan istiadat Melayu-Islam seperti istilah berkahwin yang terdiri daripada merisik, meminang, bersanding, akad nikah, talak, dan lain-lain.  Kekayaan istilah dalam bahasa Cina sukar mendapatkan padanan perkataan dalam bahasa Melayu, dan sebaliknya. Perbezaan sosiobudaya inilah yang menimbulkan masalah dalam terjemahan.

 

 

 

Cadangan

 

Daripada perbincangan tersebut, jelaslah bahawa masalah tersebut perlu ditangani dengan kemas dan teratur.  Menguasai bahasa Cina dan Bahasa Melayu dengan baik tidak menjamin terjemahan yang bermutu.  Hal ini disebabkan terjemahan adalah satu disiplin ilmu tersendiri; ia mempunyai teori, konsep dan falsafah tertentu yang perlu diikuti, lantaran satu tulisan yang diterjemahkan oleh orang yang berbeza akan menghasilkan terjemahan yang berlainan pula.  Oleh itu, terjemahan itu adalah hidup dan kreatif mengikut penterjemah.

 

Memandangkan terjemahan itu bidang ilmu yang khusus, maka kursus terjemahan perlu didedahkan kepada para penterjemah bukan Melayu sebagai asas untuk menguasai ilmu menterjemah.  Para penterjemah yang profesional perlu dijemput untuk memberi taklimat tentang cara-cara menterjemah yang betul dan berkesan.  Penceramah itu boleh terdiri daripada pegawai bertauliah daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia, Persatuan Penterjemahan Malaysia, pensyarah terjemahan, atau orang perseorangan yang telah lama menceburi bidang terjemahan. Mereka boleh berkongsi pengalaman menterjemah dengan para audiens yang baru berjinak-jinak dengan terjemahan supaya mengambil iktibar atau memperbaiki kelemahan diri mereka dalam menghasilkan penterjemahan.

 

Baik kursus terjemahan mahupun kelas bahasa Melayu yang diberikan kepada penutur bukan jati, selain penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran dari aspek linguistik,  dicadangkan juga penekanan diberi kepada aspek pragmatik silang budaya seperti yang dicadangkan oleh Noor Ida dan Liau (2009), iaitu mempergiatkan penyelidikan korpus selari dan sebanding Cina-Melayu mengenai pragmatik silang budaya Cina-Melayu kerana pendedahan aspek ini penting untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa dan budaya kedua-dua bahasa ini dalam pelbagai peringkat. 

 

Kehidupan seharian kita tidak dapat elakkan diri daripada berkomunikasi dengan kaum lain.  Maka penggunaan bahasa Melayu yang betul sangat penting bagi setiap individu.  Sehubungan itu, sekolah memainkan peranan utama untuk melahirkan pelajar yang menguasai kemahiran bertutur yang berkesan selain kemahiran mendengar, membaca dan menulis.  Dalam kelas bahasa Melayu, pendidik haruslah menitikberatkan kemahiran bertutur yang berkesan serta kaedah komunikatif terutama dalam pengajaran kepada penutur bukan jati.  Pelajar bukan sahaja mampu menguasai tatabahasa dan kosa kata dengan baik, malah perlu meningkatkan kebolehan mentafsir makna sosial pelbagai pilihan bahasa dan menggunakan bahasa dengan makna sosial yang tepat bagi situasi komunikasi tertentu .

 

Sebenarnya terjemahan komunikasi adalah kerja yang tidak mudah dijalankan kerana perbualan seharian bersifat spontan, tidak formal dan kurang menekankan kebakuan.  Namun begitu, Wang Zuoliang (2003) berpendapat bahawa terjemahan komunikasi bukan sahaja boleh meningkatkan penguasaan bahasa kedua, tetapi juga meningkatkan kebolehan ”menangkap” isi penting dan menterjemah mengikut konteks dan keadaan.  Untuk menguasai dengan baik sesuatu bahasa, penterjemah perlu sentiasa bertutur dan mempraktikkannya; adalah tidak memadai sekiranya penterjemah hanya bergantung kepada tahap bahasa yang dikuasainya di sekolah sahaja.

 

Sebagai penutur bukan jati, pelajar bahasa kedua telah memperolehi bahasa pertama semasa mereka mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda mereka.  Ini bererti mereka sudah pun menguasai persekitaran mereka dengan bahasa yang tertentu, iaitu bahasa pertama, bukan bahasa sasaran.  Alat-alat artikulasi mereka sudah biasa dan sudah terlatih untuk menyebut bunyi-bunyi dalam bahasa ibunda mereka.  Mereka juga mungkin sudah menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa tersebut.  Keadaan ini menyebabkan pelajar bahasa kedua ini mengalami ”gangguan terbawa”, yakni bahasa pertama mereka mengganggu bahasa kedua atau sebaliknya (Raminah Hj. Sabran & Rasim Syan, 1985).

 

Oleh itu adalah lazim pelajar Cina menggunakan partikel atau selanga Cina, umpamanya ’la’, ’ma’, ’lor’, ’lu’, ’gua’, dan lain-lain dalam perbualan seharian.  Struktur ayat yang berbeza turut mempengaruhi cara pelajar Cina bertutur, menyebabkan tatabahasa Melayu mereka kurang teratur.  Maka pelajar Cina perlu banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu supaya dapat membiasakan diri dengan tatabahasa dan kosa kata Melayu, hal ini akan membantu mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik terutama dalam pemilihan perkataan yang sesuai dan tepat.

 

Selain itu, strategi terjemahan lain yang dicadangkan adalah merujuk kamus yang lengkap dengan pemberian contoh mengikut konteks.  Tesaurus juga merupakan rujukan utama dengan penyertaan rangkai kata bagi sesuatu perkataan.  Para penterjemah juga diingatkan supaya menggunakan kamus dan tesaurus dengan hidup dan berkesan, bukannya terus mengambil maksud yang dinyatakan di dalamnya.

 

Kesimpulan

 

Bahasa adalah alat komunikasi yang hidup dan kreatif; oleh itu terjemahan yang dilakukan juga haruslah berbeza mengikut konteks dan keadaan.  Penguasaan kedua-dua bahasa sumber dan sasaran sahaja adalah tidak memadai untuk memastikan mutu terjemahan yang baik.  Dalam konteks terjemahan perbualan seharian dalam makalah ini, seseorang penterjemah harus banyak bergaul dengan rakan-rakan Melayu selain menguasai aspek tatabahasa Melayu dengan baik.  Selain itu, penterjemah itu perlu memperlengkap diri dengan pengetahuan aspek kebudayaan kaum Melayu supaya terjemahan itu lebih berkesan dan natural sifatnya.

 

 

RUJUKAN

 

Abdullah Hassan & Ainon Mohd.  (2001).  Teori dan Teknik Terjemahan.  Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

 

Che Ding’an. (1990). “The Principle of Translation”  Hong Kong : Shangwu Publishing Sdn. Bhd.

 

Hymes.  D.  (1972).  “On Communicative Competence” dlm. J.B. Pride & Janet Holmes Eds) Sociolinguistics.  England : Penguin Education

 

Lee Lai Foon dan Raja Masitah Raja Ariffin. (2007).  “Petunjuk Bahasa”  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Norizah, Midiyana, Rozaimah & Zuraidah. (2008). “Pengantar Prinsip Penterjemahan”  Sri Kembangan : August Publishing Sdn. Bhd.

 

Raminah Hj. Sabran & Rahim Sham.  (1985).  Kaedah pengajaran Bahasa Malaysia”.  Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

Wang Zuoliang.  (2003).  Translation and the Cultural Boom.  Dlm. Guo Jiang Zhong (pngr.). 郭建中编。 文化与翻译》。北京:中国对外翻译出版公司。

 

Xu WenSheng & Zhu Zhanghua.  (2003).  Cultural Connotation of Metaphorical Phrases and Its Interaction with Translation.  Dlm. Guo Jiang Zhong (pngr.). 郭建中编。 文化与翻译》。北京:中国对外翻译出版公司。